Enam individu yang dipercayai pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Indonesia ditemui lemas di persisiran Pantai Teluk C, Bandar Penawar, Kota Tinggi, Johor, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata enam mayat berkenaan terdiri daripada empat wanita dan dua lelaki dewasa berusia lingkungan umur 31 hingga 46 tahun.

Katanya pihak polis mendapat panggilan dari orang awam memaklumkan terjumpa beberapa mayat di persisir pantai itu lebih kurang jam 9.40 pagi tadi.

"Mangsa dipercayai PATI daripada Indonesia yang ingin masuk ke Malaysia melalui jalan laut di kawasan tersebut.

"Pihak PDRM dan ATM seterusnya dapat menangkap enam lagi lelaki dewasa warganegara Indonesia dipercayai daripada kumpulan yang sama lebih kurang satu kilometer daripada tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Menurut Hussin, kesemua mangsa dipercayai lemas akibat ombak besar ketika turun daripada bot pancung yang dinaiki mereka.

Mangsa-mangsa berkenaan telah dibawa ke Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru untuk dibedah siasat.

Polis telah mengklasifikasikan kes ini sebagai ‘kematian mengejut’ (SDR).

Manakala, enam tangkapan migran indonesia diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan lanjut.